suria

Mekanik Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Pekerja Am

PETALING JAYA: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mencederakan seorang pekerja am dengan menggunakan sebilah pisau, bulan lepas.

P. Sharithan, 31, pemilik sebuah bengkel di Gombak, bersama-sama tiga lagi yang masih bebas, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas F. Edwin Dass, 32, di bahagian kepala dan tangan, di Flat Sri Cemara Jalan Bandar Sri Damansara, Selangor, pada 5.30 petang 13 Mei lepas.

Sharithan dari Batu Caves, didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim, Yasmin Abdul Razak membenarkan Sharithan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa sehingga selesai perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Chong Yin Xin manakala tertuduh diwakili peguam, Tharamjit Singh. - BERNAMA

Artikel Lain