suria

Kerajaan Tanggung 90 Peratus Kos Pelajar Di IPTA, PTPTN Hanya Untuk Kos Sara Hidup

PETALING JAYA: Sebanyak 90 peratus kos pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebenarnya ditanggung kerajaan, maka itu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dianggap hanya untuk tanggung kos sara hidup pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata PTPTN hanya menanggung baki kos pengajian yang kecil, kira-kira 10 peratus daripada kos keseluruhan pengajian di IPTA.

"Tidak seperti negara-negara lain, kerajaan (Malaysia) bagi pinjaman kepada mahasiswa untuk menanggung kos sara hidup, setakat ini tidak ada mana-mana negara yang memberi pinjaman sara hidup kepada mahasiswa dengan jumlah yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pembangunan Pusat Kecemerlangan Industri Pemborongan dan Peruncitan (ICoE) di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemansuhan satu peratus ujrah pinjaman PTPTN yang diutarakan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dalam sesi pendebatan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengenai 'Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi' yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dan Bernama Radio24 , Selasa lalu.

"Satu peratus hanya amaun yang kecil bagi mereka (mahasiswa) untuk membayar kos pengurusan pinjaman itu," kata Mohd Khaled.

Mohd Khaled berkata untuk itu, beliau tidak nampak keperluan isu pemansuhan satu peratus ujrah yang dikenakan ketika pembayaran pinjaman PTPTN.

Program yang diadakan dengan kerjasama ICoE Mydin Mohamed Holdings bersama beberapa IPT seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) Perak itu dijalankan dengan memberi fokus kepada pembangunan modal Insan dari peringkat lepasan sekolah, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui latihan industri dan kerja sambilan.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Profesor Dr Rujhan Mustafa, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan Presiden Malaysia Retailer-Chains Association Datuk Nelson Kwok.

Khaled dalam ucapan perasmiannya berkata tujuan utama IcoE ditubuhkan ialah untuk menemukan pihak industri dan universiti untuk saling bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai bidang yang meliputi perancangan sumber manusia, penempatan mahasiswa untuk latihan industri, peluang pekerjaan sambilan dan penyelesaian masalah secara bersama dalam isu teknologi.

Selain itu, katanya, hasil kerjasama antara IPT dengan Mydin turut memberi peluang kepada mahasiswa yang masih dalam pengajian bekerja sambilan dengan industri membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

"Mahasiswa bukan sahaja akan memperoleh sumber pendapatan malah mendapat pengalaman yang berguna dalam bidang perniagaan atau peruncitan, selain memberi peluang kepada industri mengenal pasti kebolehan yang ada pada mahasiswa seterusnya menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka apabila tamat pengajian," katanya.

Beliau juga berpendapat mahasiswa pada masa kini seharusnya bersedia dalam menghadapi arus globalisasi serta cabaran mendatang dengan melengkapkan diri dengan kemahiran yang sepatutnya untuk menghadapi alam pekerjaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain