suria

Perjuangan Umno Memanfaatkan Semua Rakyat Malaysia - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata perjuangan Umno selama ini telah memanfaatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman ideologi di negara ini.

Katanya, Umno yang ditubuhkan 66 tahun lalu dan 55 tahun menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) bersama-sama rakan-rakannya dalam Perikatan dan BN, "telah menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia."

"(Malah telah juga turut) membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, merencana kejuruteraan sosial yang menyaksikan pembentukan kelas menengah yang besar.

"Selain, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui FELDA, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara dan merubah status negara dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, katanya.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan ulang tahun Umno ke-66 pada Jumaat yang disiarkan oleh www.umno-online.com malam Khamis.

Perdana Menteri berkata, Umno sesungguhnya ialah pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik, dan keunikan Umno ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat.

"Tuduhan liar pihak tertentu bahawa Umno ialah parti rasis, anti demokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali," katanya.

Najib berkata walau bagaimanapun kejayaan yang telah dicapai oleh parti itu tidak boleh menjadikan "kita alpa terhadap keperluan untuk terus memugar semangat yang mendasari penubuhan Umno itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta."

"Masa berlalu persekitaran berubah cabaran parti era pasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pramerdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara," tegas Najib.

Presiden Umno itu turut berkata: "Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan Umno ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan.

"Hari ini Umno mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020, tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya," katanya.

Beliau berkata inilah masanya untuk ahli Umno mengukuhkan barisan yang ada, demi memastikan masa depan bangsa dan negara dan perjuangan ini tidak boleh berhenti.

"Ahli-ahli Umno mesti memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain