suria

Jawatankuasa Tangani Isu Pemandu Lori Kontena Di Pelabuhan Klang Ditubuh

PUTRAJAYA: Kabinet pada Khamis memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menyelaras dan menangani perhimpunan haram oleh pemandu lori kontena di Pelabuhan Utara, Klang, minggu lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kabinet mengambil berat tentang isu itu dan meminta Kementerian Pengangkutan selesaikan dengan segera agar kejadian seumpama itu tidak berulang lagi," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Pada 2 Mei lepas, pemandu syarikat lori kontena membuat protes bagi membantah tindakan pengusaha menaikkan caj pintu depoh berdekatan Pelabuhan Utara yang menjejaskan aliran kargo import dan eksport.

Difahamkan, protes itu juga berkaitan rasa tidak puas hati pemandu lori kontena terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan oleh pengusaha depoh.

Kong berkata pada masa ini, polis akan terus memastikan jalan raya menuju ke arah jeti Pelabuhan Klang tidak diganggu oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati supaya operasi jeti berjalan lancar.

Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa siri perbincangan sebenarnya telah diadakan oleh MOT serta MITI dan pihak berkuasa Pelabuhan Klang termasuk perbincangan secara berasingan dengan Pengerusi dan Setiausaha Agung Persatuan Pemandu Haulage (AMH) pada 24 April lepas.

"Dalam mesyuarat itu pihak persatuan bersetuju untuk mengeluarkan surat pekeliling kepada semua ahlinya supaya tidak menyertai perhimpunan haram tersebut," katanya.

Susulan itu, Kong berkata satu lagi mesyuarat diadakan pada 30 April yang dihadiri wakil MITI, Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MyCC), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta operator depoh Pelabuhan Klang.

"Pihak operator depoh telah menyatakan tidak akan menaikkan caj pintu depoh dan juga membenarkan perbincangan dengan pihak haulage," katanya.

Beliau berkata MOT juga menawarkan pengantara bagi menangani isu itu melalui pihak kedua namun tiada kerjasama yang diberikan oleh operator depoh menyebabkan berlakunya perhimpunan haram tersebut.

Dalam satu lagi kenyataan, Kong berkata MOT akan menjemput seorang wakil daripada Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) untuk menyertai jawatankuasa itu.

Sehubungan itu, katanya satu mesyuarat akan diadakan pada 15 Mei ini di Pelabuhan Klang dan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool.

"Diharapkan ACCIM dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya untuk membantu mencari jalan penyelesaian kepada isu yang timbul di Pelabuhan Klang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain