suria

Dewan Rakyat Lulus Undang-Undang Mesin Cetak Gugur Kuasa Menteri

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 yang antara lain bertujuan menggugurkan 'kuasa mutlak' menteri bagi meluluskan permohonan lesen penerbitan tanpa sebarang pindaan.

Rang Undang-undang yang diluluskan pada pukul 2.25 pagi Jumaat itu secara keseluruhan bertujuan meminda lima Subseksyen Akta 301.

Perbahasan yang mengambil masa selama dua jam 30 minit itu termasuk bagi meminda Subseksyen 3(3) Akta 301 untuk memansuhkan keperluan merujuk kepada "budi bicara penuh" menteri dalam memberi atau menolak pemberian lesen mesin cetak.

Selain itu rang undang-undang itu juga bertujuan menggugurkan kuasa menteri dalam menentukan tempoh sah lesen berkenaan.

Bagaimanapun menerusi fasal 5 undang-undang itu bertujuan bagi meminda subseksyen 13A(1) yang akan membenarkan pemohonon untuk mencabar keputusan menteri menerusi semakan kehakiman.

Manakala fasal 4 rang undang-undang itu bertujuan meminda Seksyen 12 Akta 301 untuk memansuhkan tempoh sah sesuatu lesen atau permit dan untuk membenarkan lesen atau permit berkenaan kekal sah selagi ia tidak dibatalkan.

Selain itu, menerusi pindaan seksyen 13B Akta 301 menyatakan pemohon mempunyai hak untuk mendengar terhadap sesuatu keputusan menteri sebelum membatalkan atau menggantung lesen serta permit yang diberikan.

Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan membuat semakan semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang sudah berusia 28 tahun.

Artikel Lain