suria

Ada Negara Mampu Beri Pendidikan Percuma Kerana Cukai Tinggi - Ahmad Maslan

PEKAN: Sesetengah negara mampu memberikan pendidikan percuma kerana kerajaan negara terbabit mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyatnya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Sebaliknya kata beliau, jika Malaysia menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM43 bilion itu seperti yang mahu dilakukan pembangkang, negara akan bankrap.

"PTPTN ditubuhkan sebab kita mahu berlaku adil pada penuntut yang tidak mampu menanggung kos pendidikan tinggi di universiti, bagi yang mampu, bayarlah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Program Juara Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, di sini, Khamis.

Beliau juga menyifatkan penuntut institusi pengajian tinggi yang menyertai demonstrasi jalanan di Dataran Merdeka pada Sabtu lepas bagi membantah pinjaman PTPTN sebagai tali barut pembangkang.

Mereka hanya jadi alat agenda pembangkang tanpa mengetahui tujuan sebenar PTPTN, katanya.

Mengulas perkara berbeza, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata program Juara Rakyat yang diadakan di setiap DUN dan kawasan parlimen akan diteruskan sehingga pilihan raya umum ke-13.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini yang mahu Umno bahagian meneruskan program tersebut di tempat mereka, katanya menambah beliau telah menulis surat kepada setiap bahagian berhubung perkara berkenaan.

"Peruntukan juga telah disediakan untuk mereka menjalankan program ini.

"Mereka boleh buat di mana-mana kawasan yang belum lagi pernah dibuat program ini di kawasan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain