suria

Akta Rela 2012 Mansuh Kuasa Bawa Senjata - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kuasa membawa senjata api oleh Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan digugurkan menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Rela 2012.

Selain itu menerusi penggubalan itu juga kerajaan memansuhkan kuasa yang diberikan kepada anggota Rela untuk menahan, memeriksa dan menangkap mana-mana individu yang tidak diingini seperti pengganas atau pendatang asing tanpa izin seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Perlu Ikatan Relawan Rakyat 1964, Pindaan 2005 sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pengguguran kuasa berkenaan selaras dengan maklum balas daripada orang ramai berhubung kebimbangan terhadap kemampuan dan kemahiran pasukan berkenaan.

"Dahulu jika ahli Rela dibenarkan membawa senjata api ia menjadi satu isu, dalam undang-undang baru ini tidak ada.

"Dan kalau sekiranya kuasa untuk menahan, menangkap merupakan satu perkara yang dibimbangi oleh orang ramai dari segi kemahiran dan kemampuan, kali ini kuasa itu digugurkan.

"Keputusan ini dibuat selepas mendengar pandangan rakyat mengenai keperluan anggota Rela diberikan kuasa-kuasa tersebut sebelum ini," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Rang Undang-undang Rela 2012 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa pasukan Rela.

Cadangan akta baru itu terbahagi kepada enam bahagian dan 28 Fasal yang menyentuh peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa pasukan itu.

Selain itu Hishammuddin berkata, rang undang-undang itu juga menetapkan had umur minimum seseorang untuk menyertai Rela iaitu 18 tahun berbanding 16 tahun sebelum ini.

Malah katanya, anggota Rela perlu memperbaharui keahlian setiap lima tahun sebagai langkah untuk mengenalpasti ahli-ahli yang aktif.

Artikel Sebelum

Artikel Lain