suria

Anwar Gesa Kaji Semula Akta Baru Ganti ISA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) ditubuhkan untuk mengkaji semula mengenai rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disifatkan masih bertentangan dengan hak asasi manusia.

Ketua Pembangkang itu berkata, walaupun beliau menyambut baik usaha kerajaan memansuhkan ISA, namun beberapa peruntukan yang terkandung dalam Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 itu disifatkan 'lebih keras' berbanding ISA.

"Kita sambut baik keputusan membatalkan ISA kerana ini memenuhi tuntutan kita selama ini.

"Tapi apa yang kita bantah ialah pengenalan peruntukan yang lebih keras daripada ISA seperti syarat baru iaitu mesti rujuk kepada mahkamah jika polis ingin menahan semula orang yang ditahan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Selain itu Anwar berkata peruntukan berkenaan memberi kuasa penuh kepada mahkamah untuk menahan semula tanpa pertimbangan hakim.

"Bila dirujuk (kepada mahkamah untuk), tangkap semula, ia adalah mandatori iaitu pendakwa hanya bangun dan nyatakan bahwa orang ini akan ditangkap semula.

"Dan hakim tidak ada pilihan kerana ia adalah mandotiri, (hakim) mesti kata ya. Jadi apa beza dengan ISA? Dengan ISA Jabatan Peguam Negara guna polis untuk tangkap.

"Tapi sekarang ini guna proses mahkamah untuk tangkap...dan mahkamah tidak ada peranan seperti mahkamah (sebenar)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perbentangan rang undang-undang bagi menggantikan ISA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk bacaan kali kedua di sini.

Berdasarkan rang undang-undang itu, empat kesalahan dikategorikan sebagai kesalahan keselamatan, iaitu menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta melakukan perubahan selain dengan cara yang sah.

Rang undang-undang yang mempunyai lapan bahagian itu mengandungi fasal berhubung kuasa khas bagi kesalahan keselamatan, tata cara khas peranti pengawasan elektronik, tatacara maklumat sensitif, perbicaraan, tatacara saksi yang dilindungi, keterangan dan pelbagai.

Mengenai tiada tangkapan atas dasar politik, rang undang-undang itu menjelaskan maksud pegangan politik atau kegiatan politik mestilah pembabitan dalam aktiviti yang sah mengikut undang-undang, pernyataan pendapat dan tindakan politik mengikut peraturan parti politik yang berdaftar serta pernyataan pendapat yang ditujukan kepada kerajaan dan pengambilan tindakan yang ditujukan kepada mana-mana kerajaan Persekutuan.

Selain dikehendaki dibicarakan di Mahkamah Tinggi, rang undang-undang itu memperuntukkan bahawa mereka yang disyaki melakukan kesalahan tidak boleh diikat jamin, kecuali yang berumur bawah 18 tahun, perempuan dan sakit atau uzur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain