suria

Pindaan Akta Mesin Cetak Gugur Kuasa Mutlak Menteri

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan menggugurkan kuasa budi bicara mutlak menteri bagi meluluskan sesuatu permohonan lesen penerbitan.

Selain itu berdasarkan fasal 2 rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Rabu oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop turut bertujuan memansuhkan kuasa menteri bagi menetapkan tempoh sah sesuatu lesen yang diluluskan.

Bagaimanapun menerusi pindaan seksyen 3 rang undang-undang akta itu menyatakan menteri mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana permohonan bagi mendapatkan lesen penerbitan.

Malah menteri juga akan mempunyai kuasa untuk membatalkan atau menggantung pada bila-bila masa sesuatu lesen yang diluluskan bagi tempoh masa yang difikirkan wajar.

Bagaimanapun menerusi fasal 5 bagi meminda subseksyen 13A(1) akan membenarkan pemohonon untuk mencabar keputusan menteri menerusi semakan kehakiman.

Selain itu, menerusi pindaan seksyen 13B Akta 301 menyatakan pemohon mempunyai hak untuk mendengar terhadap sesuatu keputusan menteri sebelum membatalkan atau menggantung lesen serta permit yang diberikan.

Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan janjinya untuk menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan menerusi penggubalan rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Janji berkenaan dibuat menerusi kandungan fasal 4 yang bertujuan meminda seksyen 12 Akta 301 bagi memansuhkan tempoh sah sesuatu lesen selagi ia tidak dibatalkan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain