suria

Penjara Dan Denda Jika Gagal Pamer Sijil Halal Jakim/Jain Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri-negeri (JAIN) akan berdepan hukuman denda dan penjara mulai 1 Julai ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, mulai tarikh itu, Jakim tidak lagi mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan pihak swasta.

"Mereka yang masih berdegil akan dikenakan tindakan. Semua ini termaktub di bawah Seksyen 16 Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, jabatan itu akan melakukan pemantauan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Katanya, operasi pendidikan untuk memastikan setiap premis perniagaan mempunyai sijil halal dan bukan hanya mempamerkan logo halal sahaja telahpun dimulakan sejak awal Januari yang berakhir 31 Mac ini.

Hakimah berkata, sehingga Februari lalu, sebanyak 1,420 permohonan sijil halal telah diterima.

Sebelum ini, dilaporkan hanya sijil dan logo halal yang sah dikeluarkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sahaja akan diiktiraf. - BERNAMA

Artikel Lain