suria

Kanak-Kanak Yang Langgar Dinding Cermin Jeti Kuala Kedah Meninggal Dunia

ALOR SETAR: Kanak-kanak yang terlanggar dinding cermin di Jeti Kuala Kedah Jumaat lalu telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pagi Isnin setelah tidak sedarkan diri sejak kejadian itu berlaku.

Foong Chun Yuan, 5, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) mengalami cedera parah di paha kanan akibat tertusuk kaca meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Ibu Foong, Angie Ng Lai Kean, 38, berkata dia mendapat panggilan daripada pihak hospital kira-kira pukul 6 pagi tadi memaklumkan keadaan anaknya kritikal dan ketika dia bersama keluarganya sampai di hospital, Foong telah pun disahkan meninggal dunia.

"Akibat kejadian itu, anak bongsu saya mengalami pendarahan yang banyak dan jantungnya terhenti menyebabkan darah gagal mengalir ke otak. Ia menyebabkan otak tidak dapat berfungsi kerana tidak menerima oksigen," katanya ketika ditemui pemberita di HSB di sini.

Katanya, mayat Foong akan dibawa pulang ke Petaling Jaya, Selangor sebaik urusan di sini selesai.

Angie berkata dia kesal kerana kegembiraan mereka sekeluarga yang mahu bercuti di Pulau Langkawi berakhir dengan tragedi yang menyayat hati.

Kejadian malang yang menimpa Foong berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi Jumaat lepas ketika kanak-kanak itu yang mahu ke kaunter tiket di jeti tersebut selepas keluar dari bilik air di kawasan ruang menunggu terlanggar cermin itu.

Menurut bapa mangsa, Foong Kwok Mun, 40, ketika kejadian cahaya di kawasan jeti itu agak samar kerana lampu belum dibuka sepenuhnya. - BERNAMA

Artikel Lain