suria

Boikot Peniaga Yang Menaikkan Harga Barang - Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Rakyat harus menggunakan kuasa pengguna memboikot peniaga yang menaikkan harga barang, khsusunya selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelarasan gaji baru.

Menyatakan demikian pada Ahad, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penjawat awam hendaklah berbelanja secara berhemah dan sentiasa peka terhadap harga barang.

"Senjata di tangan kita. Sebagai pengguna, kita harus menggunakan kuasa pengguna membeli hanya barang-barang yang harga berpatutan. Jangan biarkan peniaga tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan," nasihat beliau.

"Saya sendiri membuat pemeriksaan harga dan mendapati harga di Kedai Rakyat 1Malaysia murah," katanya pada majlis penyampaian boucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Pusat Kejiranan Precint 9 di sini, Ahad.

Pada majlis itu, Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya menyerahkan boucar BR1M kepada kira-kira 1,600 penerima. Beliau menasihatkan penerima boucar BR1M menggunakan RM500 untuk membeli barang keperluan dan juga bagi pendidikan anak-anak.

Pemberian baucar BR1M di Putrajaya dibahagikan kepada tiga fasa iaitu pertama dengan 2,300 penerima dan yang terakhir untuk kira-kira 400 penerima, termasuk mereka yang telah membuat rayuan. - BERNAMA

Artikel Lain