suria

Pensyarah UTHM Mahu Kerajaan Beri Insentif Khas

JOHOR BAHARU: Persatuan Pensyarah dan Pengajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (PERKASA) meminta kerajaan memberi insentif khas kepada pensyarah universiti seperti dalam perkhidmatan kepakaran lain di bidang perubatan dan perguruan.

Pengerusi persatuan Profesor Madya Dr Mohd Idrus Mohd Masirin, selain menyambut baik pengumuman Perdana Menteri membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengekalan Sistem Saraan Malaysia (SSM), berharap permintaan itu dapat dikaji oleh suruhanjaya khas yang akan ditubuhkan nanti.

Suruhanjaya itu hendaklah mengambilkira pandangan majlis dan persatuan pegawai akademik di universiti bagi memartabatkan profesion mereka di universiti, katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, Jumaat. "Kesarjanaan pegawai akademik universiti yang bertaraf profesor perlu diletakkan di tahap yang bersesuaian kerana peranan mereka melahirkan profesional dan cendakiawan dalam bidang kepakaran masing-masing," katanya.

Persatuan itu turut menyokong pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan suruhajaya tersebut bagi mengkaji sistem saraan penjawat awam selain dapat menyelesaikan beberapa isu perkhidmatan.

Mohd Idrus berkata pengagihan peratusan kenaikan gaji menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap jurang pendapatan antara kakitangan pelaksana dan peringkat pengurusan dan profesional.

"Pembatalan SBPA akan meredakan masalah yang dihadapi seperti yang dikenalpasti oleh pihak CUEPACS dan Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC)," katanya.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya khas itu dijangka memberi peluang penambahbaikan berterusan terhadap kebajikan dan skim perkhidmatan kakitangan awam.

Sementara itu pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PENTAS) UTHM, Abdul Malek Ibrahim dalam kenyataan sama berkata ahli persatuan itu amat bersyukur kerana Perdana Menteri mendengar 'denyut nadi' penjawat awam.

"Harapan seluruh ahli PENTAS agar penambahbaikan kepada SSM akan mengambilkira semua aspek gaji, kebajikan, kemudahan, kaedah kenaikan pangkat dan memberi laluan kerjaya lebih luas kepada penjawat awam khususnya pentadbir universiti," katanya.

Beliau berharap keputusan kerajaan itu diterima dengan lapang dada oleh semua pihak.

Pengerusi Kesatuan Kakitangan Sokongan (KEKAS) universiti, Faizal Naim pula berkata pengumuman itu adalah lebih baik daripada yang dijangkakan dan berharap seluruh kumpulan pelaksana di universiti itu dapat mempertingkatkan lagi produktiviti mereka.

PERKASA, PENTAS dan KEKAS dianggotai seramai 2,250 kakitangan UTHM. -BERNAMA

Artikel Lain