suria

PM Dijangka Umum Gaji Minimum Sektor Swasta Mac Ini

SEREMBAN: Polisi mengenai gaji minimum pekerja sektor swasta dijangka diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pada masa ini kementeriannya dalam proses akhir menyiapkan segala perkara perlu sebelum pengumuman dilakukan.

"Langkah ini akan memberi manfaat kepada 30 peratus daripada pekerja tempatan yang pada masa sekarang mendapat gaji kurang daripada RM900," katanya kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Labu, dekat sini, Jumaat.

Beliau berkata polisi baru mengenai gaji pekerja swasta itu tidak akan menggugat keupayaan negara bersaing di antarabangsa mahupun mengurangkan peluang pekerjaan.

"Semua ini sudah diambil kira dan kadar yang akan kita umumkan ini akan mendatangkan kebaikan kepada negara termasuk meningkatkan ekonomi, memastikan lebih banyak peluang pekerjaan untuk pekerja tempatan dan secara tidak langsung ini akan mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini," katanya.

Terdahulu semasa berucap, Dr Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata bangunan baru SJKT Labu itu dibina menerusi peruntukan khas RM1.9 juta dari kerajaan pusat.

Bangunan dua tingkat itu akan memuatkan 12 bilik darjah dan pembinaannya dijangka siap sebelum pertengahan tahun depan, katanya. Katanya bangunan baru itu bagi menempatkan murid yang sebelum ini terpaksa mengikuti pembelajaran di kabin susulan kebakaran pada Disember 2010.

Untuk tahun ini, kerajaan pusat memperuntukkan RM100 juta yang akan memberi manfaat kepada 200 buah sekolah Tamil di seluruh negara, katanya.

"Menerusi peruntukan tersebut, ada sekolah Tamil akan mendapat bangunan baru dan ada juga yang diberi peruntukan untuk program memperbaiki keadaan yang tidak mencukupi," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain