suria

Debat Untuk Rakyat Atau Kepentingan Politik?

KUALA LUMPUR: Keghairahan pembangkang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat dengan ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan persoalan untuk siapa sebenarnya debat itu diadakan.

Ini kerana umum tidak perlu menjadi bijak pandai untuk menelah "manfaat" yang akan diperoleh pembangkang daripada satu acara yang belum tentu bagi kepentingan rakyat, ketika negara kini di ambang pilihan raya umum ke-13, apatah lagi jika acara disiarkan secara langsung menerusi televisyen yang pasti ditukar menjadi pentas pojok satu pihak dan isu ilmiah yang menjadi tajuk tenggelam begitu saja.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berpendapat adalah lebih baik kerajaan dan parti menggunakan masa yang begitu berharga untuk bekerja demi kesejahteraan rakyat daripada membazirkannya dengan berdebat.

"Untuk membangunkan negara dan untuk jaga kesejahteraan rakyat, kita kena lawan buat kerja dan bukannya lawan bercakap. Bercakap sahaja tidak boleh menjayakan sesuatu, malah kalau banyak sangat bercakap, ia banyak membuang masa, tenaga dan wang ringgit," katanya kepada Bernama.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohamad Sharkar Shamsuddin pula menganggap debat yang dicadangkan pihak Anwar itu hanyalah untuk kepentingan politik pembangkang semata-mata.

"Lebih baik dia jawab isu jam Omega dan video yang didakwa miripnya itu terlebih dahulu," kata anggota exco kerajaan negeri Pahang itu.

Bekas setiausaha sulit kepada Anwar, Anuar Shaari, berkata Perdana Menteri tidak perlu melayan kerenah bekas bosnya itu yang pada pandangannya sekadar mencari isu untuk melepaskan diri setelah tersepit akibat kenyataannya menyokong keselamatan negara Israel yang disiarkan Wall Street Journal.

"Anwar juga boleh berdebat dengan Datuk Eskay Shazryl Abdullah bagi mempertahankan dakwaan dalam video seks yang dikatakan miripnya itu bahawa itu bukan beliau.

"Selama ini pun Anwar tidak mahu menyahut cabaran sedemikian," katanya dalam satu SMS kepada Bernama.

Ini bukan kali pertama Anwar mendesak untuk berdebat dengan wakil kerajaan, yang mana tokoh pilihannya sebelum ini sama ada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Hasilnya pada Julai 2008, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang ketika itu Menteri Penerangan menyahut cabaran Anwar, namun debat bukan saja tidak menepati tajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok harga minyak turun" tetapi juga dijadikan senjata penyokong Anwar untuk mendabik dada Ketua Pembangkang itu pemidato gah.

Akan tetapi, menurut pemerhati dan tokoh politik, kejayaan dan kegagalan sesuatu dasar yang dilaksana kerajaan tidak boleh disandarkan dengan debat kerana tugas terbabit adalah rumit dan bukan dinilai dengan kepintaran berhujah.

Malah kata mereka, menerusi lawatan ke seluruh negara, Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa mendabik dada, telah menjawab segala tohmahan yang disebar pembangkang menerusi penjelasan mudah kepada rakyat tanpa perlu berdepan Anwar.

Kata mereka, tujuan Anwar mencabar Najib hanya untuk meletakkan Perdana Menteri dalam keadaan serba salah kerana secara tidak langsung memberi "peluru" kepada Anwar untuk menguar-uar di seluruh negara Najib takut berdepan dengannya.

Bagi bekas ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Senator Ezam Mohd Noor pula, debat pada umumnya adalah baik "tetapi tidak ada manfaat sekiranya disertai oleh orang yang tidak bertanggungjawab seperti Anwar."

"Perdana Menteri tidak perlu melayan pemimpin terdesak seperti ini. Anwar mempunyai terlalu banyak rekod tidak bertanggungjawab seperti 16 September 2008 (yang mahu menukar kerajaan) dan yang terbaru isu Israel," katanya kepada Bernama.

Mungkin ada betulnya pendapat sesetengah pemerhati politik bahawa debat adalah suatu yang positif dalam masyarakat demokrasi yang matang agar rakyat lebih terdedah kepada maklumat.

Namun, jika debat hanya untuk mencari kepentingan politik, cukuplah dengan ucapan pembangkang pada ceramah yang rancak diadakan di seluruh negara.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menangani sepak terajang pembangkang selama 22 tahun mentadbir dan memacu Malaysia, berkata masyarakat negara ini belum cukup bersedia menerima debat seperti itu.

Pandangan itu ada asasnya kerana ketika debat Anwar-Ahmad Shabery dulu, ada penyokong pembangkang gagal mengawal perasaan dengan bersorak-sorai seolah-olah berada di stadium atau rapat umum, bukan majlis ilmu yang perlu dihormati.

Pensyarah Komunikasi Massa dan Perhubungan Awam Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan mungkin merumuskannya dengan baik apabila berkata: "Pembangkang dah lama menutup mata dan telinga terhadap kebaikan kerajaan Barisan Nasional.

"Pembangkang hanya mahukan pentas terbuka untuk menonjolkan tokoh mereka dan melemparkan fitnah terhadap kerajaan.

"Mereka akan menolak segala penjelasan. Debat pun dah tak ada gunanya, takkan dapat mengubah kerak menjadi nasi." -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain