suria

Anak Syarikat Khazanah, Penyedia Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Turki Jalin Perkongsian Sinergistik

ISTANBUL: Perkongsian sinergistik antara anak syarikat penjagaan kesihatan Khazanah Holdings Bhd, Integrated Holdings Healthcare Sdn Bhd (IHH) dengan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan Turki, Acibadem Saglik Yatirimlari Holding A.S.(ASYH), akan menyaksikan kumpulan itu muncul sebagai antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan terbesar di dunia dari segi bilangan katil (12,316) dan pendapatan.

"Kami ketika ini nombor dua dari segi bilangan katil dan pendapatan hospital dalam kumpulan di seluruh dunia. Tetapi, jika anda lihat kepada keuntungan, kami akan menjadi nombor satu," kata pengasas Saglik Hizmetleri ve Ticaret A.S.Acibadem (Acibadem) Mehmet Ali Aydinlar pada sidang akhbar di sini hari ini susulan pembelian 60 peratus ekuiti dalam ASYH oleh IHH.

Beliau berkata kumpulan itu juga menyasar pertumbuhan di Eropah Tengah dan Timur, Timur Tengah dan Rusia.

Sementara itu, pengarah urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar berkata kumpulan itu juga merancang pertumbuhan di India, Singapura, Malaysia dan China.

"Dalam pelbagai langkah dan dalam semua kiraan, kami adalah antara yang teratas di dunia," katanya.

Azman juga berkata Khazanah turut merancang menyenaraikan IHH pada 2012.

"Syarikat akan menyediakan dokumen relevan pada waktu yang sesuai. Kami akan berunding dengan rakan kongsi kami," katanya.

IHH hari ini berjaya menyelesaikan pembelian 60 peratus modal saham diperbesar dalam ASYH daripada Mehmet Ali Aydinlar dan keluarga dan Abraaj Capital, pengurus ekuiti swasta utama yang melabur di Timur Tengah, Turki, Asia dan Afrika.

Khazanah Nasional, menerusi syarikat tujuan khasnya, Bagan Lalang Ventures Sdn. Bhd juga membeli 15 peratus pegangan langsung dalam ASYH.

ASYH memegang 92 peratus saham dalam Acibadem Saglik Hizmetleri ve Ticaret A.S. (Acibadem), penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan utama di Turki. Keluarga Aydinlar memegang baki 25 peratus pegangan dalam ASYH.

Nilai urus niaga 92 peratus Acibadem ialah kira-kira RM5.308 bilion bagi keseluruhan modal saham Class A dan Class B.

Jumlah bayaran bagi 92 peratus pegangan ASYH dalam Acibadem dikira dengan menilai 4,249,973 saham Class A pada RM276.31 sesaham dan 87,719,149 saham Class B pada RM43.17 sesaham.

Sebagai mematuhi peraturan Lembaga Pasaran Modal Turki, tender mandatori akan dibuat kepada kira-kira lapan peratus daripada pemegang saham minoriti Acibadem.

Bayaran pembelian dibuat menerusi gabungan tunai dan saham IHH yang baru diterbitkan. Ini akan membawa kepada keluarga Aydinlar dan Abraaj Capital muncul sebagai pemegang saham IHH masing-masing memiliki kira-kira 4.2 peratus dan 7.1 peratus.

Khazanah, menerusi syarikat tujuan khas milik penuhnya (SPV), Pulau Memutik Ventures mengekalkan 62.1 peratus pegangan dalam IHH manakala Mitsui, menerusi SPV milik penuhnya, MBK Healthcare Partners Limited, kini memiliki 26.6 peratus pegangan.

Mehmet Ali Aydinlar dan Omar Lodhi daripada Abraaj Capital akan menyertai Lembaga IHH.

Pembelian itu merupakan penyertaan secara langsung pertama IHH dalam industri penjagaan kesihatan swasta di Turki.

ASYH juga adalah pelaburan langsung pertama Khazanah dalam sebuah firma Turki dan merupakan satu lagi langkah utama bagi cabang pelaburan kerajaan itu dalam mengembangkan pelaburannya dalam sektor penjagaan kesihatan.

Penyertaan Acibadem dalam IHH merupakan suatu yang sangat penting dan menambah kepada portfolio mantap aset penjagaan kesihatan sedia adanya yang termasuk Parkway Holdings Limited, Pantai Holdings Bhd, International Medical University and pemegangan saham dalam Apollo Hospitals Enterprises Limited dari India.

Dengan urus niaga utama ini, IHH berkedudukan unik sebagai satu daripada penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di dunia dengan aset di Malaysia, Singapura, Turki, India dan operasi di China, Brunei, Abu Dhabi serta Eropah Tengah dan Timur. - BERNAMA

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain