suria

Jasad Penuntut Malaysia Lemas Di Sumatera Utara Dibawa Pulang Esok

JAKARTA: Jasad pelajar Malaysia, yang mati lemas semasa mandi-manda di sebuah kawasan air terjun di Brastagi, Sumatera Utara, petang Ahad, akan dibawa pulang ke tanah air pada Selasa untuk pengebumian.

Jasad Sethubathi Rao Nagalingam, akan diterbangkan dengan pesawat MH861 yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia, Medan pada 8.50 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.55 pagi.

Dari KLIA, jasad mendiang akan dibawa ke rumahnya di Taman Pasir Putih, Ipoh, Perak dengan kenderaan jenazah, kata Atase Pendidikan Malaysia di Indonesia Ludinata Misnun di sini, Isnin.

"Pihak keluarga telah bersetuju supaya jasad Sethubathi tidak dibedah siasat," katanya.

Sethubathi, 20, yang baru mendaftar untuk kursus pergigian di Universiti Sumatera Utara (USU), Medan, mati lemas dalam satu insiden di Air Terjun Dua Warna Sibolangit, Brastagi.

Penuntut lelaki itu sedang mandi di suatu bahagian yang dalam di kawasan air terjun tersebut apabila dia tiba-tiba ditarik arus air dan tenggelam ke dasar pada kira-kira 2 petang Ahad.

Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan menyatakan pelajar itu ke kawasan Air Terjun Dua Warna Sibolangit untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan sekampus.

Jasad mendiang kemudian dibawa ke Hospital Adam Malik, Medan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain