suria

Polis Tumpas Sindiket Dadah Di Perak

IPOH: Polis menumpas sindiket dadah di bandar raya ini setelah menahan seorang lelaki dan merampas syabu bernilai kira-kira RM500,000 baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dadah seberat 3.64 kilogram itu dirampas di sebuah rumah di kawasa perkampungan baru Ampang Baru Khamis lalu.

Turut dirampas ialah wang tunai sebanyak RM110,000, sebuah kereta, jam tangan berjenama, wang tunai bernilai RM95,000 di dalam akaun bank yang telah dibekukan oleh pihak polis.

Keseluruhan nilai rampasan itu berjumlah RM237,000.

"Ibu suspek yang berumur 73 tahun yang turut berada di dalam rumah itu semasa serbuan dilakukan turut ditahan tetapi kemudiannya dibebaskan.

"Suspek dan ibunya tidak mempunyai rekod jenayah lampau," kata Mohd Shukri kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu yang menjadikan bandar raya ini tempat pembungkusan semula dadah.

"Ia bukan untuk pasaran di sini. Syabu dipercayai di bawa masuk dari luar dan dibungkus semula di Ipoh ke dalam paket yang lebih kecil sebelum dihantar semula ke Kuala Lumpur untuk diedar dan dijual di tempat lain," katanya.

Suspek direman sehingga Khamis ini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sejauh mana suspek terlibat di dalam kegiatan pengedaran dadah serta bagi mengenal pasti sindiket yang lain," katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain