suria

Wawasan 2020 Beri Kesan Besar Pada Negara: Najib

KUALA LUMPUR: Wawasan 2020 yang bertujuan mewujudkan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020, merupakan antara tiga aspek kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang meninggalkan kesan besar kepada pembangunan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dua lagi aspek ialah menyelamatkan ekonomi negara semasa krisis ekonomi dunia pada 1997, serta membina keyakinan emosi dan psikologi rakyat bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang di luar jangka melalui slogan Malaysia Boleh.

"Bila Tun Mahathir mengungkapkan visi untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, ia telah mencetuskan satu semangat baru di kalangan rakyat, yang mana hari ini kita berada di pusingan akhir ke arah mengisi Wawasan 2020 itu.

"Pada saya, ada satu cara yang sangat baik untuk mengenang jasa seorang pemimpin negara yang begitu besar jasanya, iaitu kita kena mengisi segala impian yang beliau lahirkan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala 'Tun Dr Mahathir: Legasi Tersohor' serta pelancaran Program Kepimpinan Ulung Mahathir (MDIP) di sini, Selasa.

Turut hadir Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah meneruskan usaha yang dicetuskan Dr Mahathir dengan melaksanakan pelbagai perancangan termasuk Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi, yang kesemuanya diilhamkan atas visi Dr Mahathir, ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Najib berkata Dr Mahathir juga telah menjadi penyelamat ekonomi negara ketika dunia dilanda krisis kewangan apabila menolak untuk menyerahkan Malaysia kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"... dan saya boleh menyokong apa yang Tun (Mahathir) sebut bahawa dia tentu sekali tidak akan menyerahkan negara kita kepada penguasaan IMF dalam apa jua keadaan.

"Sebaliknya kalau ada orang nak tuduh dia (Tun) menulis surat itu, saya fikir itu mengarut belaka," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Dr Mahathir pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk mendapatkan bantuan dana semasa krisis ekonomi dunia dan krisis kewangan Asia.

Najib berkata daripada segi emosi dan psikologi, Dr Mahathir telah memberikan rakyat sesuatu yang mungkin tidak dimiliki sebelum ini iaitu semangat Malaysia Boleh, suatu keyakinan diri yang akhirnya menjadi inspirasi kepada pembangunan negara sehingga wujudnya Malaysia seperti sekarang ini.

"Itulah antara yang saya fikir kesan besar kepimpinan Tun Mahathir kepada negara. Beliau telah selamatkan negara dalam keadaan krisis, meletakkan landasan ke arah misi negara maju dan memberi keyakinan diri kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata untuk memastikan Wawasan 2020 menjadi kenyataan kerajaan memerlukan sokongan dan dorongan daripada semua, khususnya daripada bekas perdana menteri itu.

"Untuk Wawasan 2020 menjadi kenyataan, kita terpaksa menyeberangi satu jambatan tidak lama lagi. Kita harap kita akan menyeberangi dengan jayanya berkat sokongan Tun Mahathir," tambahnya.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucapan balasnya melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong pentadbirannya sebelum ini, serta mendoakan kesejahteraan kepada beliau dan keluarganya.

Dr Mahathir berkata dengan kelebihan kesihatan yang dimilikinya pada usia 86 tahun, beliau berjanji akan terus memberi sumbangan, dalam apa juga bentuk, untuk memastikan pembangunan negara berterusan.

Sementara itu, MDIP merupakan sebuah program penyelidikan intelektual peringkat global yang diwujudkan dengan kerjasama antara Majlis Profesor Negara, Yayasan Wangsa Perdana dan Institut Pemikiran Tun Mahathir sebagai penghormatan atas jasa dan kepimpinan Dr Mahathir terhadap pemodenan negara selama 22 tahun.

Program itu yang dibuka kepada calon luar negara menjalani 'internship' selama enam bulan di negara ini bagi menjalankan kajian dan analisis mengenai gaya, kemajuan serta kejayaan kepimpinan semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Majlis itu, yang diadakan sempena hari jadi Dr Mahathir ke-86 hari ini, turut diserikan dengan majlis memotong pulut kuning oleh Dr Mahathir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain