suria

Kes Kehilangan Warga Korea: Polis Jejak Isyarat Telefon Bimbit

KUALA LUMPUR: Isyarat telefon bimbit milik ahli perniagaan Korea, Kim Chong Yong yang dilaporkan hilang sejak 31 Oktober lepas, menjadi petunjuk baru kepada polis yang melancarkan operasi mencari di sekitar Jalan Gombak-Bentong, dekat sini Khamis.

Menurut sumber dari Bukit Aman, isyarat itu dikesan di kawasan hutan antara Batu 14 dan Batu 25, Jalan Gombak-Bentong.

Usaha mencari yang dijalankan sejak pagi tadi bagaimanapun dihentikan kira-kira 6 petang ekoran keadaan gelap serta hujan lebat.

"Usaha pencarian akan tetap diteruskan bagi mengesan mangsa untuk memenuhi permintaan keluarga Kim dan Kedutaan Besar Korea, di sini," katanya yang menjelaskan kes disiasat mengikut Akta Orang Hilang.

Menurut polis, Kim, 53, yang tinggal di negara ini sejak dua dekad lepas, dilihat kali terakhir di sebuah pusat hiburan di Desa Sri Hartamas antara 9 malam hingga 1 pagi pada 30 Oktober bersama seorang lelaki, sebelum dilaporkan hilang pada keesokannya.

Kehilangan Kim yang juga Timbalan Presiden Komuniti Sukan Korea Selatan di Malaysia, disedari oleh pengurus syarikatnya yang kemudian menghubungi keluarga lelaki itu di Korea.

Anak perempuan Kim kemudian datang ke negara ini dan membuat laporan polis selepas empat hari gagal menghubungi bapanya.

Bernama juga difahamkan Kim sebelum itu ada menghubungi isterinya di Korea bertanyakan mengenai keselamatan keluarganya.

Sumber itu juga memberitahu Bernama siasatan polis mendapati kes tersebut melibatkan sekurang-kurangnya dua suspek termasuk seorang rakan senegara Kim.

"Selain isyarat telefon, risikan polis juga mendapati suspek kedua dipercayai datang ke kawasan hutan berkenaan seminggu selepas Kim dilaporkan hilang, iaitu pada bulan November lepas," katanya.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi operasi mendapati pencarian dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Unit Komando 69, Pasukan Gerakan Am dan wakil kedutaan Besar Korea Selatan di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

SPRM Memang Sedang Siasat NFC

Artikel Berikut

14 Warga Asing Ditahan

Artikel Lain