suria

Tebang Pokok Tanpa Kebenaran, MPAJ Arah Syarikat Bayar Pampasan

KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meminta syarikat yang membina papan tanda iklan di hadapan pusat membeli-belah Ampang Point membayar pampasan kerana menebang pokok berusia lebih 30 tahun bagi mendirikan papan tanda itu.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, syarikat itu didapati menebang pokok berkenaan kira-kira 11 pagi tadi tanpa pengetahuan MPAJ.

Menurutnya, syarikat iklan itu memohon permit untuk membuat papan tanda iklan pada September lepas tetapi MPAJ tidak pula memberi kebenaran untuk menebang pokok.

"Kita terima panggilan dari kejiranan kawasan itu tentang mengapa MPAJ menebang pokok di tepi jalan begitu sahaja. Selepas itu baru kita sedar bahawa syarikat itu melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya," katanya kepada Bernama.

Norhayati berkata, MPAJ kemudiannya meminta syarikat terbabit supaya menghentikan kerja-kerja pembinaan papan tanda itu dan memberi notis untuk menuntut ganti rugi.

Beliau berkata, syarikat itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen Akta Kerajaan Tempatan 1976 - Undang-undang Kecil Taman MPAJ 2005.

Artikel Lain