suria

Nama Najib & Bekas PM Curi Perhatian Perwakilan

KUALA LUMPUR: Maksud dan signifikasi nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembaharuan yang dibawanya dalam pentadbiran berjaya mencuit perhatian perwakilan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Wakil Terengganu, Komaruldin Omar ketika membangkitkan perkara itu semasa membahaskan usul agama, sosial dan pendidikan berkata, sepertimana Najib yang membawa makna bijak dan pintar, susur galur nama semua bekas Perdana Menteri membawa makna mengikut susunan proses pembangunan negara.

Katanya Tunku Abdul Rahman, sesuai dengan maknanya iaitu hamba yang pemurah telah membawa rahmat kepada masyarakat melalui program pembasmian buta huruf dan kemiskinan, diikuti Tun Abdul Razak (Hussein), bermaksud hamba yang membawa rezeki meneruskan pembangunan negara dengan pembukaan tanah Felda yang memberi limpahan keselesaan kepada rakyat.

Sesuai dengan pengertian Hussein iaitu baik, beliau berkata Tun Hussein Onn yang digelar 'Bapa Perpaduan' telah meninggalkan warisan yang sangat hebat apabila mewujudkan perpaduan antara penduduk pelbagai etnik, kaum dan agama di negara ini.

Katanya, kesinambungan itu diteruskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjaya membangunkan Malaysia sebagai sebuah tamadun terkenal menerusi idea pembangunan yang dicetuskan, sesuai dengan namanya yang berasal daripada perkataan "Hadhara Yahdhuru Hadhari" yang bermaksud tamadun.

Ketamadunan itu diperhebatkan lagi oleh perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi program pembangunan modal insan sehingga lahirnya anak Melayu pertama memperoleh 19A dan 21A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya.

"Hari ini perdana menteri kita Datuk Seri Najib, apa maknanya pula, kalau Abdul Rahman membawa rahmat, Abdul Razak membawa rezeki, Hussein membawa kebaikan, Mahathir membawa tamadun, dan Abdullah bangunkan modal insan, Najib pula lebih hebat dan pintar, cukup kena dengan asal perkataan namanya "Najiba Yanjibu Najban Najib" iaitu bijak lagi pintar," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka PWTC hari ini.

Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Hulu Terengganu itu berkata, sama ada secara kebetulan atau tidak, nama-nama pemimpin tersohor itu sememangnya membawa siginifikasi tersendiri kepada pembangunan negara, di sebalik pelbagai cabaran yang dilalui.

Menjadikan Najib yang juga presiden Umno sebagai contoh, beliau berkata, kebijaksanaan dan kepintaran perdana menteri merencana pelbagai strategi dan transformasi terutamanya selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) dihempas badai 'tsunami politik' pada 2008 berjaya membuatkan pihak yang sentiasa mencemuh dan mencari keburukan kerajaan terdiam.

Komaruldin berkata, rakyat seharusnya bersyukur memiliki perdana menteri yang bijak merencana pelbagai program dan transformasi dalam meneruskan kesinambungan pembangunan negara yang dibawa pemimpin terdahulu, termasuk menyatukan semula masyarakat yang sedikit longgar akibat usaha buruk pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengakhiri ucapannya, beliau turut mencadangkan supaya semua perwakilan berbai'ah atau bersumpah untuk menyokong pilihan pemimpin bagi mengelak sabotaj dan pengkhianatan sesama orang Umno sekiranya tidak terpilih menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

"Contohnya kita bersumpah bai'ah dengan menyebut "Wallahi, Wabillahi, Watallahi" kita akan menyokong siapa sahaja calon yang diputuskan pucuk pimpinan dan tidak akan sabotaj kepada parti," katanya yang disambut 'setuju' oleh perwakilan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain