suria

Program Batal: Timbalan Menteri KPT Akur Keputusan UIAM

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah akur dengan keputusan pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) apabila membatalkan program yang sepatutnya beliau hadiri di kampus universiti itu di Gombak pada malam Isnin.

Sambil melahirkan rasa terkejut ekoran pembatalan program yang dianjurkan oleh persatuan pelajar undang-undang universiti berkenaan, Saifuddin berkata beliau tidak akan memanjangkan isu berkenaan walaupun ianya dianjurkan hanya untuk membincangkan mengenai buku terbaru tulisannya.

"Saya agak terkejut sebab ini kali pertama dalam sejarah saya, saya dijemput ke kampus, tapi akhirnya program itu dibatalkan.

"Memang hasrat untuk berdialog biasa mengenai e-book saya. Tapi saya mengambil sikap (akur) kerana itu keputusan universiti," katanya di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai keputusan UIA membatalkan program dialog mengenai buku bertajuk 'Kalau Saya Mahasiswa' yang ditulisnya pada 2009.

Saifuddin turut mengakui bahawa jemputan untuk menghadiri program yang dijadual berlangsung pada pukul 8.15 malam Isnin diterimanya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (sms) oleh penganjur.

Menurut Saifuddin beliau dimaklumkan mengenai pembatalan itu melalui pegawainya yang membuat tinjauan ke universiti itu pada sebelah petang.

"Maklumat itu dapat daripada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dalam perbualan dengan pegawai saya. Dr Nik Ahmad maklumkan bahawa beliau mendapat arahan daripada Rektor, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

"Alasan yang diberikan ialah kerana sekarang ini isu AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) sedang hangat diperkatakan," katanya sambil memaklumkan bahawa maklumat itu diperolehi kira-kira pukul 4 petang Isnin.

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain