suria

4,000 Pelajar Kurang Berkemampuan Di Melaka Bakal Terima Bantuan

MELAKA: Seramai 4,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini bakal menerima bantuan kelengkapan persekolahan untuk tahun hadapan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pelajar terbabit akan menerima dua pasang pakaian sekolah, beg, alat tulis serta sepasang kasut yang kesemuanya bernilai RM150.

"Program ini merupakan satu manifestasi keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dalam menjamin kelangsungan pendidikan anak-anak mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Negeri Melaka 2011 di Ayer Keroh di sini, Isnin.

Pada majlis itu, seramai 315 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Baru, Ayer Keroh, Ayer Molek dan Bachang terpilih menerima bantuan kelengkapan persekolahan tersebut.

Mohd Ali berkata kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM600,000 bagi menyediakan kelengkapan kepada 4,000 pelajar terbabit.

Beliau berkata program yang dilaksanakan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) sejak 11 tahun lalu itu telah membantu seramai 43,714 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

Katanya TAPEM turut memberi bantuan biasiswa sebanyak RM600 setahun kepada pelajar sekolah menengah yang berkelayakan untuk tujuan bayaran yuran persekolahan serta perbelanjaan harian.

Katanya, TAPEM juga telah menyalurkan pinjaman pendidikan di peringkat institusi pengajian tinggi kepada 9,637 orang pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM123 juta sejak tahun 2000 hingga Mei tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain