suria

Kerajaan Belum Cadang Perluas Pinjaman PTPTN Kursus Profesional IPTS

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk meluaskan pinjaman pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada kursus profesional yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, buat masa ini PTPTN hanya memberi pinjaman kepada kursus-kursus profesional khususnya bidang perakaunan di 13 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Buat masa ini belum ada cadangan untuk meluaskan lagi pinjaman kepada kursus profesional yang ditawarkan di IPTS kerana kita memahami kekangan kewangan yang dihadapi pihak PTPTN," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mejawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang meminda polisi pemberian pinjaman PTPTN kepada kursus profesional yang ditawarkan di IPTS.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, sehingga kini PTPTN memberi pinjaman kepada dua kursus profesional dalam bidang perakaunan yang dikeluarkan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) di institut pengajian tinggi tempatan.

"Mulai 2007 pembiayaan pendidikan mula ditawarkan kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat profesional di IPTA secara sepenuh masa.

"Manakala mulai 2008, perkara yang sama dilanjutkan bagi mereka yang menduduki kursus profesional di IPT secara sepenuh masa dan jarak jauh," katanya.

Tambah Saifuddin, keputusan kerajaan itu selaras dengan matlamat untuk menyediakan program pembelajaran sepanjang hayat kepada rakyat Malaysia.

"Langkah ini penting bagi meningkatkan kualiti ilmu untuk melahirkan tenaga kerja berprestasi tinggi," katanya.

Artikel Lain