suria

Rakyat Malaysia Anggap Obesiti Bukan Penyakit Adalah Masalah Besar

PETALING JAYA: Apa yang membuatkan rakyat Malaysia mengalami kegemukan dan masalah berat badan berlebihan ialah persepsi bahawa obesiti bukan satu penyakit, kata Ketua Pakar Diet Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John.

"Saya sedar bahawa ia bukan sahaja makanan atau gaya hidup tidak aktif rakyat Malaysia. Sudah tentu, ia mungkin telah menyumbang kepada isu obesiti tetapi masalah utamanya adalah kita tidak melihat obesiti sebagai masalah," katanya mengulas statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa Malaysia mempunyai peratusan tertinggi orang gemuk di Asia Tenggara.

Beliau berkata persepsi ini mungkin menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih berpegang kepada gaya hidup ini walaupun kerajaan menganjurkan kempen kesedaran dan usaha untuk menggalakkan gaya hidup sihat.

"Kerajaan telah membina taman-taman di sekitar kawasan perumahan untuk menggalakkan orang ramai bersenam tetapi tidak boleh memaksa orang ramai untuk bersenam," kata Easaw-John.

"Selalunya, apabila saya bercakap dengan pesakit obesiti, mereka memberi saya alasan seperti seluruh ahli keluarga saya mengalami kegemukan tetapi tiada apa yang berlaku kepada mereka, atau kawan saya kata jika saya kehilangan berat badan, saya tidak akan kelihatan menarik lagi."

Beliau berkata hakikat obesiti yang tidak secara langsung membabitkan kos dan wang juga menyumbang kepada masalah ini.

"Ia bukan seperti kencing manis, penyakit jantung atau barah, di mana anda perlu mengeluarkan wang untuk membayar ubat-ubatan. Jika anda selesa sahaja denga kegemukan, anda tidak perlu menghabiskan wang," katanya.

Easaw-John berkata, ibu-bapa biasanya sering dipersalahkan apabila anak-anak mereka menjadi gemuk kerana adalah menjadi tugas mereka untuk mendisiplinkan anak-anak dan menanam tabiat gaya hidup sihat.

"Terdapat keperluan untuk mengubah sikap rakyat Malaysia terhadap obesiti. Kita mesti membuat mereka faham kesan obesiti sepenuhnya, "katanya.

Sesetengah rakyat Malaysia mahu penganjur sesuatu majlis untuk mengurangkan kuih, yang sering dihidangkan kepada peserta.

"Kami amat mesra dan mahu tetamu kami diberi makan sebaiknya," kata seorang perunding media.

"Tetapi ini adalah sangat tidak sihat. Kita berehat seketika untuk makan setiap setengah jam atau lebih dan ia tidak membantu kerana pada setiap majlis, kuih-muih yang lazat atau nasi lemak terhidang di hadapan anda," tambah beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain