suria

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

ALOR SETAR: Seramai 12 orang daripada 36,717 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah menduduki peperiksaan itu di hospital kerana masalah kesihatan.

Lapan calon menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, masing-masing seorang di Hospital Kulim, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Hospital Jitra serta seorang lagi di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Mereka yang menduduki peperiksaan di hospital kerana demam dan kemalangan jalan raya.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Mansor Lat berkata sebanyak 264 pusat peperiksaan dibuka bagi menampung kesemua calon yang menduduki peperiksaan.

"Keadaan cuaca hari ini baik dan saya harap cuaca seperti ini akan berterusan sehingga peperiksaan tamat pada 14 DisEMBER," katanya.

Di HULU TERENGGANU, seorang pelajar perempuan yang disyaki dijangkiti virus Hepatitis A turut mengambil peperiksaan SPM di Hospital Hulu Terengganu.

Nor Ain Nabila Rasid, 17, berkata walaupun terpaksa menduduki peperiksaan di dalam wad, ia tidak menghalangnya untuk melakukan yang terbaik kerana telah membuat persediaan awal.

"Saya tidak kisah menjawab peperiksaan di mana, janji saya dapat menduduki peperiksaan penting ini," katanya ketika ditemui di hospital.

Nur Ain dimasukkan ke hospital berkenaan bersama-sama 27 orang termasuk lapan kanak-kanak kerana disyaki dijangkiti virus Hepatitis A, dipercayai ada kaitan dengan penggunaan air yang tidak dirawat.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Anuwa Sulaiman berkata pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti penyakit sebenar yang dihadapi kesemua mangsa dari Kampung Basung dan Kampung Pasir Dula itu.

Beliau berkata buat masa ini, kesemua mereka disyaki terkena virus Hepatitis A berdasarkan simptom yang dialami seperti mata kuning, demam, sakit kepala dan cirit-birit. -BERNAMA

Artikel Lain