suria

Lelaki Dipercayai Tikam Sepupu Gara-gara Cemburu

TAWAU: Seorang lelaki meninggal dunia di hospital di sini pada Rabu dipercayai ditikam sepupu lelakinya berpunca daripada perasaan cemburu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi di Jambatan 3, Kampung Hidayat, Jalan Apas itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an, ditikam di bahagian dada kirinya ketika sedang tidur oleh suspek berusia 34 tahun. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin pada sidang akhbar di sini berkata suspek, setelah menikam mangsa yang juga pemilik rumah tempat dia menumpang, melarikan diri ke rumah jiran yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Saksi yang melihat kejadian itu terus memberi pertolongan kepada mangsa dengan membawanya ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia pada pukul 1.25 petang.

Ibrahim berkata pihaknya telah menahan suspek di rumah jiran mangsa bersama pisau pemotong sayur yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa telah menumpangkan suspek dan isterinya tinggal di rumahnya dan isteri suspek telah menghilangkan diri setelah menyedari suaminya telah menikam sepupunya sendiri.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, polis memberkas dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang membelasah seorang lelaki di persimpangan Kampung Titingan, Jalan Damai, kira-kira jam 5.30 petang Selasa.

Ibrahim berkata mangsa dibelasah menggunakan penukul besi dan batang besi kerana didakwa telah melanggar rakan mereka.

"Anggota polis dari Cawangan Narkotik yang kebetulan berada di situ, terpaksa melepaskan satu das tembakan ke udara setelah dua lelaki berkenaan tidak mengendahkan amaran polis supaya menghentikan tindakan mereka," katanya.

"Polis amat kesal terhadap sikap orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tetapi tidak meleraikan tindakan dua lelaki tersebut," tambah Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Lain