suria

MB Perlis Cadang Pengerusi MADA Digilirkan Antara Kedah dan Perlis

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis mahu pelantikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilakukan secara bergilir antara Kedah dan Perlis.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata sejak MADA diwujudkan pada 1970 belum ada wakil dari Perlis yang dilantik sebagai pengerusinya.

"Sudah tiba masanya pelantikan ini dilakukan secara bergilir antara Kedah dan Perlis kerana operasi MADA turut merangkumi negeri Perlis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Perlis 2011 anjuran bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kerajaan negeri Perlis di sini Sabtu.

Mengikut Akta MADA 1972, pengerusi lembaga itu hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong manakala ahli lembaga yang lain dilantik oleh Menteri.

MADA kini mengendalikan kawasan padi seluas lebih 129 hektar yang sebahagian besarnya terletak di Kedah.

Md Isa juga mencadangkan agar satu masa kelak, MADA diasingkan pentadbirannya dari Kedah dan diwujudkan MADA Perlis.

Beliau juga berharap Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) turut melantik wakil daripada negeri Perlis menduduki kerusi lembaga pengarahnya berikutan negeri ini turut menjana kemasukan pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Katanya Perlis menyediakan kemudahan terminal feri untuk kemudahan pelancong ke Pulau Langkawi dan turut menjadi penyumbang ekonomi pulau itu di sektor pelancongan.

Karnival sehari itu yang membabitkan penyertaan 30 agensi kerajaan dan sektor swasta mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama yang ingin mencari peluang pekerjaan serta menjadi usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata karnival itu akan memberi peluang seluas mungkin kepada penduduk Perlis untuk menyertai peluang pekerjaan dan keusahawanan yang ditawarkan oleh pihak yang menyertai karnival itu.

Sehingga Julai tahun ini, sebanyak 25,808 peluang pekerjaan dan keusahawanan telah diwujudkan oleh NCIA dalam kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan ia telah melepasi sasaran awal untuk mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan.

"Kami akan terus berusaha membangunkan NCER yang secara tidak langsung akan memajukan wilayah ini serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan jumlah usahawan," katanya.

Menjelang 2025, NCER disasarkan menjadi wilayah ekonomi bertaraf dunia dengan memfokuskan kepada penjanaan pelaburan dan pelaksanaan program pembangunan berteras ekonomi iaitu pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Penasihat Khas kepada Perdana Menteri berkaitan NCER, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid. - BERNAMA

Artikel Lain