suria

Dewan Rakyat Kecoh Isu Elaun Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Isu pembatalan kenaikan gaji dan elaun ahli Parlimen merancakkan persidangan Dewan Rakyat apabila beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang bertikam lidah mengenai cadangan berkenaan.

Kekecohan berlaku apabila Datuk Baharom Mohamad (BN-Sekijang) menyifatkan ahli Parlimen pembangkang sebagai hipokrit kerana menolak cadangan kenaikan gaji dan elaun seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam Bajet 2012.

Menurut Baharom, sikap hipokrit pembangkang begitu ketara apabila wakil rakyat mereka yang menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Gaji dan Elaun Ahli Parlimen terlebih dahulu menyokong mengenai cadangan berkenaan.

"Dua wakil pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan adalah Ahli Parlimen PAS-Kubang Kerian (Salahuddin Ayub) dan PKR-Kuala Langat (Abdullah Sani Abdul Hamid)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 di sini, Khamis.

Kenyataan Baharom itu mengundang Abdullah Sani untuk bangun bagi mempertahankan pendiriannya bahawa kenaikan gaji dan elaun itu memang diperlukan namun pada masa yang sama menegaskan bahawa ia tidak sesuai dilaksanakan sekarang.

Kemudiannya Khalid Samad (PAS-Shah Alam) turut mencelah bagi menyokong kenyataan Abdullah Sani.

"Belum sesuai masanya, sekarang tak sesuai nak naikkan lagi... lagipun sekarang kerajaan BN menghadapi bajet defisit," katanya.

Namun kenyataan kedua-dua wakil rakyat pembangkang itu disangkal Baharom dan menegaskan bahawa kerajaan mempunyai bajet yang cukup untuk melaksanakan cadangan tersebut.

"Dah beri kelulusan untuk kaji (gaji dan elaun) itu bermakna ada bajet la.

"Perdana Menteri dengar rintihan wakil rakyat kerana beliau tahu kenaikan itu dapat digunakan untuk rakyat juga," katanya.

Mendengar penjelasan berkenaan, Khalid masih enggan mengaku kalah dan bingkas bangun sekali lagi dan berkata:

"Rintihan kami (pembangkang) adalah peruntukan RM1 juta seperti mana yang diperoleh Ahli Parlimen BN dan jika ia diberi tentu kami dapat memberi khidmat yang baik kepada rakyat."

Jumaat lalu, Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula gaji dan elaun ahli Parlimen sekiranya mendapat sokongan penuh wakil rakyat kerajaan, pembangkang dan bebas.

Bagaimanapun, bantahan empat pemimpin utama pembangkang iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS menyebabkan kerajaan menarik balik cadangan berkenaan.

Ketika ini, Ahli Parlimen negara ini memperoleh RM6,500 sebulan dan paling rendah berbanding Singapura (RM33,589), Indonesia (RM18,111) dan Thailand (RM11,534).

Artikel Lain