suria

Bersih 2.0 Peroleh Kebenaran Cabar Perintah Isytihar Ia Kumpulan Haram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa pemandu kumpulan dikenali Bersih 2.0 pada Rabu memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar perintah bahawa kumpulan itu adalah sebuah pergerakan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusuf, yang membuat keputusan itu di dalam kamar, membenarkan permohonan jawatankuasa pemandu gerakan itu bagi semakan kehakiman untuk membatalkan perintah berkenaan.

Mahkamah menetapkan 22 Nov untuk mendengar merit bagi semakan kehakiman.

Pada 8 Julai, 14 anggota jawatankuasa pemandu pergerakan itu termasuk Datuk S. Ambiga mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Kesemua anggota berkenaan antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai yang mengisytiharkan gerakan Bersih sebagai pertubuhan haram dan memerintahkan pembatalannya berkuatkuasa serta merta.

Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Ambiga, yang merupakan peguam mewakili jawatankuasa pemandu itu, memberitahu pemberita bahawa hakim membenarkan permohonan mereka berkaitan membatalkan keputusan dan pengisytiharan perintah itu batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, kata Ambiga hakim menolak permohonan mereka bagi menghalang responden daripada memasuki dan memeriksa premis mereka serta perintah bagi mengarahkan responden menyerahkan baju-t, kain rentang, surat khabar, buku-buku, sepanduk dan sebarang dokumen atau objek milik mereka yang dirampas polis.

Ambiga berkata beliau gembira dengan perintah itu memandangkan ia penting kerana berkaitan dengan perintah eksekutif.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said yang mewakili responden berkata beliau akan mendapatkan arahan pihak atasannya sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain