suria

Murid Darjah Lima Maut Dihempap Tiang Gol

KLANG: Seorang murid darjah lima Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 2 di sini maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di padang sekolah berkenaan dalam kejadian petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, maut selepas mengalami pendarahan teruk dan retak tempurung kepalanya dalam kejadian kira-kira 6 petang ketika bermain bola sepak dengan beberapa rakannya.

Bapa mangsa, Abdul Rahman Sarbaini, 41, berkata beliau dimaklumkan oleh seorang jirannya mengenai kemalangan menimpa anaknya itu yang bermain di padang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mereka di Kuarters Guru Kampung Jawa.

"Apabila sampai ke tempat kejadian saya dapati banyak darah keluar daripada kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri. Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk menerima rawatan namun dia gagal diselamatkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, Ahad.

Abdul Rahman berkata jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jati, di sini tengah hari tadi.

Mengimbau kenangan bersama Allahyarham anaknya, beliau berkata anak keempat daripada lapan adik-beradik itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik namun beriya-iya mahu kasut bola kerana sangat menggemari sukan itu.

"Dia ada minta pada ibunya dan minta tambahkan duit kerana duit rayanya tidak cukup untuk membeli kasut bola tetapi nampaknya tidak kesampaian, namun saya redha Allah lebih sayangkannya," kata Abdul Rahman.

Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata beliau masih belum menerima sebarang laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara.

"Mungkin pihak jabatan telah pergi ke lokasi kejadian namun sekiranya sudah menerima laporan, siasatan akan dilakukan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain