suria

Malaysia-Brunei Kukuhkan Kerjasama Dalam Sektor Minyak Dan Gas

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei mengulangi komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor minyak dan gas serta mengarahkan pegawai berkaitan untuk membincangkan modaliti kewangan dan operasi.

Perbincangan itu akan juga meliputi kecekapan pembangunan bagi mana-mana kawasan pertindihan untuk memutamadkan persetujuan secepat mungkin.

Dalam kenyataan bersama selepas Konsultansi Tahunan Pemimpin ke-15 antara Malaysia dan Brunei di Istana Nurul Iman di sini hari ini, kedua-dua Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menyatakan bahawa kerjasama yang ada antara pihak berkuasa petroleum nasional kedua-dua negara berjalan dengan baik.

Kedua-dua pemimpin itu melahirkan rasa puas hati dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petroleum BRUNEI dan Petronas mengenai kerjasama dalam sektor minyak dan gas.

"Dalam hubungan ini, kedua-dua pihak berkuasa petroleum nasional akan bekerjasama dalam pengendalian bersama Blok N Brunei di bawah rangka kerja kontrak perkongsian pengeluaran," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga menyatakan bahawa MoU mengenai Sempadan dan Ukur Bersama Sempadan Tanah dan Terma-terma Rujukannya hampir dimuktamadkan.

"Pemimpin-pemimpin itu berharap agar Jawatankuaasa Bersama Sempadan Tanah Brunei Darussalam-Malaysia dapat memutamadkan bagi membolehkan kedua-dua pihak memulakan kerja persempadanan dan ukur sempadan tanah pada akhir 2011," menurut kenyataan itu.

Semasa konsultansi itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pembinaan sebuah jambatan yang merentangi Sungai Pandaruan dan mengkaji semula keputusannya pada Konsultansi Tahunan ke-14.

"Dengan hasrat mereka untuk mengukuhkan lagi hubungan dan membawa rakyat kedua-dua negara lebih rapat lagi, pemimpin-pemimpin itu bersetuju agar jambatan tersebut akan dibina bersama oleh kerajaan Malaysia dan Brunei dan pembinaannya tanpa prejudis sehingga hasil persempadanan bersama sempadan tanah antara kedua-dua negara.

"Pemimpin-pemimpin itu juga bersetuju bahawa acara pecah tanah untuk merasmikan tapak projek untuk jambatan itu oleh Menteri Komunikasi Brunei dan Menteri Kerja Raya Malaysia pada 13 September 2011 di Temburong, Brunei. Mereka menggesa pasukan projek bersama itu memastikan pembinaan dipercepatkan," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mereka untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi yang ada antara Brunei dan Malaysia, khasnya kerjasama ekonomi dengan Sabah dan Sarawak.

Semasa konsultansi itu, Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan majlis manandatangani satu perjanjian dan tiga MoU. Perjanjian itu antara kerajaan Malaysia dan Brunei berkaitan pembinaan sebuah jambatan yang merentangi Sungai Pandaruan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri Komunikasi Brunei Datuk Seri Setia Awang Abdullah Begawan.

MoU yang ditandatangani malam ini adalah mengenai Kerjasama Ekonomi dan Teknikal antara kerajaan Brunei dan kerajaan Sarawak yang ditandatangi oleh Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Sarawak dan Menteri Kemudahan Awam Datuk Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan kedua Brunei Pehin Datuk Lim Jock Seng.

MoU lain mengenai Kerjasam Pelaburan antara Bantree Sdn Bhd of Brunei dan Lembaga Pembangunan dan Pelaburan Ekonomi Sabah (SEDA) yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Mohd Yaakub Johari dan Pengarah Urusan Brunei Investment Agency (BIA) Hartini Abdullah.

MoU terakhir adalah antara Petroleum Brunei dan Petronas mengenai Kerjasama dalam Sektor Minyak dan Gas yang ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Abbas Azhar dan Lim. Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudian mengadap Sultan Brunei dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain