suria

Tiada Kompromi Soal Keamanan Dan Keselamatan Negara, Titah Raja Muda Perlis

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah tiada kompromi dalam soal keamanan dan keselamatan bagi memastikan kedaulatan negara ini kekal terpelihara.

Keamanan dan keselamatan menjadi teras kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat, titah baginda pada majlis penyampaian sumbangan bungkusan kuih hari raya kepada 15 agensi penguatkuasaan dan keselamatan di Kuala Perlis, Jumaat.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, mahu tahap profesionalisme agensi-agensi itu ditingkatkan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan lancar.

Antara agensi keselamatan yang menerima bungkusan kuih hari raya termasuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), polis, tentera, Briged Sempadan, Imigresen dan Kastam.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasaan APMM Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Muhammad Abdul Basar Taji berkata pihaknya akan memastikan perairan utara negara terkawal menjelang musim perayaan.

Kami akan menggunakan seluruh keupayaan bagi memastikan keselamatan perairan negara kekal terpelihara," katanya kepada pemberita selepas majlis itu. - BERNAMA

Artikel Lain