suria

Kontena Nasional Kini Berusia 40 Tahun & Masih Terus Berkembang

KUALA LUMPUR: Kontena Nasional Bhd (KNB), syarikat logistik utama Malaysia, yang menyambut ulang tahun ke-40 esok, mahu mengembangkan semua segmen perniagaan utama bagi membolehkannya menjadi peserta serantau dan global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hood Osman berkata; "40 tahun telah banyak mengajar kami. Kami berjaya mengharungi kelembapan ekonomi dalam tempoh empat dekad ini, kami bergerak daripada unit entiti peniagaan tunggal kepada dua dan kini enam.

"Kami sudah mempelbagaikan aset dan meluaskan perkhidmatan dan berharap menjadi peserta serantau dan bertaraf dunia dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Hood berkata, KNB memulakan operasi pada 1971 apabila sistem kontena diperkenal dalam negara.

Kini, selepas 40 tahun, syarikat itu berkembang daripada pengangkutan kontena kepada kumpulan penghantaran hadapan fret, pergudangan dan pengedaran.

NKB kini mempunyai 1,400 pekerja yang mengurus 400 kepala treler, 3,200 treler dan 70 trak dan mengangkut kira-kira 270,000 unit kargo bersamaan 20 kaki, menjadikannya antara lima syarikat pengangkutan utama dalam negara.

Seperti syarikat seinduknya, Northport Malaysia Bhd, ia adalah anak syarikat NCB Holding yang disenarai di Bursa, yang membentuk sebahagian daripada kumpulan PNB.

Hood berkata untuk berjaya, Kontena Nasional perlu meluaskan dan menawarkan perkhidmatan berkualiti.

Beliau berkata, arah tuju yang beliau lakukan untuk syarikat itu ialah peruntukan logistik pihak ketiga atau dikenali sebagai 3PL dalam industri itu.

"Sepanjang tahun, Kontena Nasional berjaya meluaskan dan menangani cabaran ekonomi. Sokongan pengerusi kumpulan dan lembaga pengarah membolehkan syarikat itu makmur dalam tempoh masa yang pendek," katanya.

Artikel Lain