suria

Kedai Emas Di Jalan Bazar Buluh Kubu Kerugian RM30,000 Dirompak Dua Lelaki

KOTA BAHARU: Sebuah kedai emas di Jalan Bazar Buluh Kubu dekat sini kerugian hampir RM30,000 selepas dirompak dua lelaki petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu Asisten Komisioner (ACP) Azham Othman berkata kejadian itu berlaku kira-kira 3.30 petang selepas seorang suspek berjaya memperdaya jurujual kedai berkenaan sebelum melarikan sepuluh utas rantai emas.

Beliau berkata sebelum itu, seorang suspek berumur lingkungan 30-an masuk ke kedai tersebut dan berpura-pura sebagai pelanggan yang ingin membeli rantai emas manakala seorang lagi menunggu di luar bersama sebuah motosikal.

"Selepas masuk ke kedai, tiga daripada enam jurujual di situ segera melayan suspek yang membuat pelbagai pertanyaan mengenai emas yang dijual.

"Tindakan suspek yang bertanya banyak soalan itu berjaya mengalih pandangan kesemua jurujual, dan ketika itu, suspek dengan pantas mengambil 10 utas rantai emas yang terletak dalam meja pameran kaca kedai itu," katanya kepada pemberita, Ahad.

Azham berkata selepas mengambil rantai berkenaan, suspek kemudian bergegas ke tempat rakannya yang sedang menunggu di luar kedai dan segera melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Bagaimanapun, beliau berkata polis membuat pengecaman wajah suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam kedai berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Siasatan awal mendapati suspek tidak menggunakan sebarang kekerasan dan tidak membawa senjata ketika melakukan rompakan itu, katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata suspek dipercayai memperdayakan jurujual terbabit dengan mengajukan pelbagai soalan, termasuk harga dan upah menempah emas.

"Suspek juga menyuruh jurujual ambil emas yang berlainan di tempat lain, dan masa itulah suspek segera mengambil 10 utas rantai tersebut.

"Kejadian itu berlaku begitu pantas, tidak sampai sepuluh minit, dan kesemua jurujual tidak sempat berbuat apa-apa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain