suria

Polis Cari Dua Suspek Kes Tembak Mati Penyelia Syarikat Feri

ALOR SETAR: Polis sedang mencari dua lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang penyelia syarikat perkhidmatan feri ke Langkawi yang ditembak mati malam Isnin lepas sebelum dirompak.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata polis belum mengenal pasti kedua-dua suspek itu tetapi percayai kejadian itu telah dirancang.

"Mangsa dipercayai ditembak satu das, kemudian suspek mengambil beg mangsa yang mengandungi RM12,500 wang hasil jualan tiket syarikat tempat dia bekerja dan menembak semula mangsa sehingga mati," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Dalam kejadian pada 7.30 malam itu, penyelia syarikat Ferryline Ventures Sdn Bhd, Zamzarmi Ghazali, 36, ditembak berhampiran rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah dekat sini, sewaktu menunggang motosikal ketika pulang dari Jeti Kuala Kedah dengan membawa beg mengandungi wang tunai itu.

"Semasa mangsa pulang dari tempat kerja, dia diekori oleh dua lelaki menaiki motosikal Yamaha, berpakaian hitam dan bertopi keledar hitam," katanya.

Adzaman berkata bedah siasat mendapati suspek melepaskan tembakan jarak dekat dari arah belakang yang terkena jantung Zamzarmi.

"Kita tidak menjumpai kelongsong peluru, mungkin ia tidak keluar dari senjata itu atau suspek mengambil semula kelongsong yang keluar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain