suria

Varsiti Akan Jadualkan Semula Semester Untuk Beri Ruang Deepavali

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Rabu bahawa mulai tahun ini Kementerian Pengajian Tinggi akan menyusun semula jadual semester universiti awam bagi membolehkan pelajar India pulang kepada keluarga untuk menyambut Deepavali.

Pengumuman Perdana Menteri itu yang dibuat semasa melancarkan Gerakan Pelajar India 1Malaysia (1MISM) di Universiti Malaya di sini disambut dengan tepukan gemuruh oleh lebih 3,000 pelajar.

Najib berkata penyelarasan akan dibuat terhadap kurikulum dan jadual universiti itu sama seperti yang dilakukan untuk pelajar Melayu dan Cina.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa biasiswa Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dianugerahkan kepada siswazah India yang mencapai kepujian kelas pertama untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD.

"Saya akan serahkan kepada 1MISM mengemukakan cadangan ke pejabat saya dan kita akan lihat berapa banyak biasiswa yang dapat kita beri," kata beliau.

Najib juga berkata kementerian berkenaan akan menentukan pada masa depan makanan 'vegetarian' dapat disediakan di universiti.

Ini juga boleh menampung keperluan pelajar Islam oleh kerana mereka suka makan capati, dhal dan kari, katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa universiti awam akan menyediakan bas untuk mengangkut pelajar India ke kuil setiap petang Jumaat.

Najib berharap 1MISM akan bekerjasama rapat dengan kerajaan demi masa depan negara yang lebih baik.

Sejak penubuhannya tiga bulan lalu, 1MISM telah menarik lebih 7,000 pelajar dari universiti dan politeknik awam dan swasta menjadi anggotanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain