suria

Mardi Perlu Komersilkan Teknologi Yang Dibangunkan – Noh Omar

SERDANG: Ciptaan dan teknologi berasaskan produk pertanian yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) perlu dikomersilkan bagi memastikan penemuan tersebut menembusi pasaran dalam negara dan global sekaligus membawa pulangan besar kepada negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata keupayaan Mardi menghasilkan produk berasaskan pertanian yang berkualiti tinggi sudah terbukti di peringkat antarabangsa.

Justeru katanya kejayaan itu tidak bermakna sekiranya segala penemuan dan teknologi baru Mardi tidak dikomersilkan.

"Jadi MARDI perlu mempercepatkan usaha pengkomersilan teknologi yang ada. Kalau pihak swasta turut serta bermakna proses itu dapat dipercepatkan lagi," katanya pada sidang media mengenai kemenangan Mardi dalam Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) Ke-22 dan Anugerah Bank Pembangunan Islam (IDB) bagi Sains dan Teknologi 2011 di ibu pejabat Mardi di sini Jumaat.

Mardi meraih lima emas, lima perak dan satu gangsa iaitu memenangi semua kategori yang dipertandingkan dalam ITEX 2011 yang diadakan di KLCC pada 20-22 Mei lalu dan juga Anugerah Kategori Pertama pada Anugerah IDB 2011.

Noh berkata, antara ciptaan Mardi yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa ialah sebuah mesin ekstrak fiber dan media cocopeat untuk produk kelapa yang mudah alih dan mesra persekitaran.

Katanya mesin itu sangat berguna kepada pekebun kelapa, pengusaha kecil industri berasaskan kelapa di mana berupaya mengasingkan fiber dan cocopeat secara serentak dengan kapasiti 500 kilogram sabut kelapa dalam masa satu jam.

Begitu juga dengan penemuan sejenis virus yang dikenali 'Biopestida berasal Faj' yang menggunakan bakteria sebagai makanan untuk mengawal penyakit tumbuhan yang disebabkan oleh bakteria seperti penyakit layu pada tomato dan halia, penyakit reput pada nanas dan betik serta penyakit antraknos pada pokok cili, katanya. Beliau berkata sehingga 2010, sebanyak 48 syarikat Industri Kecil dan Sederhada (IKS) bimbingan Mardi berjaya mengeksport produk mereka dengan jumlah jualan tahunan semua syarikat bernilai RM77 juta.

Noh berkata penglibatan Marditech Corporation Sdn Bhd iaitu anak syarikat Mardi dalam kerja-kerja konsultansi dan pengurusan projek di 15 negara ahli IDB seperti Syria, Afghanistan, Nigeria dan Brunei sudah membuktikan keupayaan agensi itu di peringkat antarabangsa. – BERNAMA

Artikel Lain