suria

Mahkamah Benarkan Syarikat Bubar Eye On Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat yang membekalkan janakuasa Rabu berjaya mendapatkan perintah mahkamah membubarkan Eye on Malaysia Sdn Bhd (EOM) selepas syarikat itu gagal melunaskan hutang tertunggak RM613,271.

Peguam Lye Wing Voi yang mewakili Daiden Equipment Sdn Bhd, memberitahu media bahawa Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan petisyen membubarkan syarikat itu, dalam kamarnya.

Daiden Equipment telah memfailkan petisyen terhadap EOM pada 12 April, tahun ini untuk peralatan yang dibekalkan antara September 2008 dan Mac 2009.

Pada 29 Jan, tahun ini, syarikat itu mendapat satu penghakiman ingkar memerintahkan EOM untuk menyelesaikan jumlah tertunggak itu tetapi setakat ini wang tidak diterima.

Buaian gergasi Eye on Malaysia dibuka buat pertama kali di sini pada Januari 2007. Ia kemudian dipindahkan di Kota Laksamana di Melaka pada 2008.

Bagaimanapun, disebabkan pertikaian perundangan antara pemilik buaian itu, Fitraco NV, sebuah syarikat dari Belgium dan operatornya MST Ad Suria Sdn Bhd dan EOM, sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Kumpulan Melaka Bhd, buaian itu ditanggalkan pada Oktober tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain