suria

Bekas Eksekutif Alcatel Mengaku Tidak Bersalah Beri Suapan RM25,000

KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif akaun pelanggan Alcatel Network Systems (M) Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberikan suapan RM25,000 kepada Penolong Pengurus Perolehan, Telekom Malaysia Berhad bagi mendapatkan maklumat mengenai satu tender, lima tahun lalu.

Radziah Ani, 49, didakwa memberikan suapan dalam bentuk cek milik syarikat telekomunikasi antarabangsa berkenaan kepada Mohd Asri Idris, 42, bagi mendapatkan tender, "for the supply of Widerband Code Division Multiple Access (WDCMA) Mobile Communication System and the Provision of Works phase II".

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail antara 1 tengah hari hingga 2.30 petang pada 17 Februari 2006.

Radziah menghadapi tuduhan tersebut di bawah Seksyen 10(a)(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika disabitkan boleh dipenjara dari 14 hari sehingga 20 tahun serta boleh didenda sekurang-kurangnya RM10,000 ataupun lima kali ganda nilai suapan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah meminta mahkamah agar jaminan ditetapkan pada RM15,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan selama empat hari bermula 17 Oktober.

Radziah diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain