suria

Perkeso Belanja RM77 Juta Tanggung Kos Rawatan Dialisis - Maznah

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membelanjakan RM77.2 juta tahun lepas bagi menanggung kos rawatan dialisis pencarum yang mengidap penyakit buah pinggang, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan. Katanya setakat ini sejumlah 7,213 pesakit buah pinggang telah berdaftar dengan Perkeso bagi mendapatkan rawatan, dengan 5,738 pencarum aktif mendapatkan rawatan di pusat hemodialisis.

"Setakat ini Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi Orang Berinsurans(OB) yang menerima kemudahan bantuan pemulihan dialisis, iaitu di Kuala Lumpur 406 orang, manakala di Selangor pula 1,022 orang," katanya selepas Majlis Penyampaian Cek Penderma Mesin Dialisis di Wisma Perkeso pada Selasa. Beliau berkata sehingga Jun tahun ini sebanyak 106 pusat rawatan dialisis dilantik sebagai panel Perkeso di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sejak 1998, Perkeso telah melantik 314 pusat hemodialisis di seluruh negara dan menderma 342 mesin kepada pusat terbabit, katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan 29 unit mesin dialisis kepada beberapa pertubuhan antaranya St.John Ambulans Malaysia Selangor, Yayasan Kebajikan SSL Haemodialysis dan MAA-Medicare Kidney Charity Fund. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain