suria

Pasang Alat Pengesan Asap Elak Risiko Kematian

KOTA BAHARU: Rakyat di negara ini diminta mencontohi negara maju seperti Amerika Syarikat, yang menjadikan alat pengesan asap sebagai salah satu peralatan utama di setiap kediaman, dalam usaha mencegah kebakaran dan mengurangkan kadar kematian.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata ini kerana dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 42 kematian dalam kebakaran telah dicatatkan di negara ini berbanding sebanyak 38 kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Mengikut statistik, walaupun jumlah kebakaran di seluruh negara secara umumnya menurun iaitu 1,468 buah rumah dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding 1,534 buah rumah dalam tempoh yang sama tahun lalu, namun berlaku peningkatan dari segi jumlah kematian.

"Peningkatan itu satu perkara yang membimbangkan dan kebanyakan kes kematian itu berlaku kerana didapati tiadanya alat pengesan awal kebakaran menyebabkan ada mangsa yang langsung tidak menyedari adanya kebakaran yang berlaku di dalam rumah mereka dan mati lemas akibat asap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Kebesaran Bomba Tahun 2010 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan.

Pada majlis itu seramai 44 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala 20 pegawai menerima Pingat Kebesaran Bomba.

Wan Mohd Nor berkata alat pengesan asap yang menggunakan bateri boleh dibeli dengan harga hanya RM30 sehingga RM40 dan alat itu penting dalam membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa setiap keluarga ketika kebakaran berlaku.

"Di negara kita belum begitu ramai masyarakat yang menggunakan alat ini namun di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) contohnya jadi amalan biasa.

"Dan di AS dicatatkan bahawa apabila mereka (rakyat) pasang alat ini, jumlah kematian menurun secara mendadak, lebih daripada separuh daripada jumlah kematian berbanding di kawasan yang tidak dipasang alat ini," katanya.

Selain itu katanya, selain peningkatan kematian akibat kebakaran, kematian akibat lemas juga semakin meningkat di negara ini.

Beliau berkata mengikut statistik bomba dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 202 kematian akibat lemas dicatatkan membabitkan pelbagai usia terutamanya kanak- kanak berbanding seramai 178 kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam perkembangan lain beliau berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai enam anggota bomba dan penyelamat seluruh negara telah dibuang kerja ekoran terlibat dengan pelbagai masalah disiplin terutamanya penyalahgunaan dadah dan ponteng kerja.

Bagaimanapun katanya masalah rasuah membabitkan anggota bomba di seluruh negara masih terkawal dan pihaknya sentiasa memberi perhatian khusus bagi menanganinya di bahagian kerja berisiko seperti unit kelulusan Sijil Layak Menduduki Premis (CF) dan Unit Siasatan Kebakaran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain