suria

Pengawal Keselamatan Dituduh Bunuh Pelajar Perempuan 16 Tahun

JOHOR BARU: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Masai bulan lepas.

Tertuduh, D. Kalaiselvan, 46, hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan oleh seorang jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Hafizah Johor Arif Johor.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa membunuh Nur Rahayu Qomarodin di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai di sini antara pukul 2.30 pagi dan 2.50 pagi, 18 Jun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Keluarga mangsa turut melantik Khairul Azwad Sariman sebagai peguam pemerhati bagi kes tersebut.

Kes tersebut akan disebut semula pada 20 September depan bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain