suria

Dua Anggota Bomba Cedera Ketika Padam Kebakaran Kilang Perabot

MELAKA: Dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh di sini, cedera semasa memadamkan kebakaran sebuah kilang perabot di kawasan perindustrian Bukit Rambai dekat sini, malam Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka R.Ezhumalai berkata dua anggota tersebut, Amran Kassim, 36, dan Sabri Ahmad, 40, mengalami kecederaan ringan ketika mereka bersama anggota lain memadamkan kebakaran kali kedua yang berlaku ke atas kilang itu.

Dalam kejadian tersebut, berlaku letupan kecil di kilang itu yang mengakibatkan percikan api yang mengenai dua anggota tersebut, katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Ezhumalai berkata kedua-dua anggota berkenaan dihantar ke Hospital Melaka di sini untuk menerima rawatan dan sudah dibenarkan keluar dari hospital itu.

Beliau berkata bomba menerima panggilan mengenai kebakaran pertama kilang itu pada pukul 12.43 malam tadi dan api berjaya dikawal kira-kira pukul 3 kemudian bagaimana pun bomba menerima panggilan mengenai kebakaran kedua kilang itu pada pukul 9.31 malam tadi.

Katanya pihaknya berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran daripada merebak ke premis berdekatan kilang itu pada pukul 6 pagi tadi.

Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan sebanyak RM2 juta.

Sebanyak lima jentera bomba dengan 36 anggota terlibat dalam memadamkan kebakaran kilan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain