suria

Siasatan Singapura Dapati Tiada Insiden Pesawat RSAF Ceroboh Ruang Udara Malaysia

KUALA LUMPUR: Siasatan oleh Singapura mendapati tiada sebarang insiden pesawat Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) melanggari undang-undang trafik udara antarabangsa atau memasuki ruang udara Malaysia tanpa kebenaran.

Kenyataan Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini malam ini menyebut dalam sebahagian besar daripada pencerobohan yang didakwa itu, tiada pesawat yang melakukan penerbangan dan jika ada pun penerbangan yang dilakukan, sebilangan daripadanya adalah pesawat komersial bukan milik Singapura yang terbang di ruang udara Malaysia menurut undang-undang dan peraturan antarabangsa.

"Singapura telah berkongsi hasil siasatan kami dengan para pegawai Malaysia sebelum ini dan kami tetap sedia bertukar maklumat untuk merungkai sebarang kekeliruan berhubung dakwaan pencerobohan itu," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Singapura dan Malaysia berkongsi hubungan pertahanan yang terjalin sejak sekian lama dan bekerjasama rapat dalam memastikan keamanan serta kestabilan serantau.

"Singapura berharap untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi memperkukuhkan hubungan pertahanan dua hala kita," katanya. Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons terhadap dakwaan pencerobohan oleh pesawat tentera udara republik berkenaan ke dalam ruang udara Malaysia.

Minggu lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam jawapan bertulis beliau kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar(BN-Rembau) di Dewan Rakyat, berkata sejumlah 2,508 pencerobohan ruang udara oleh pesawat tentera udara Singapura di ruang udara Malaysia dikesan sejak 2008, dan Malaysia telah mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan udara itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain