suria

Kementerian Pelajaran Sedang Perinci Skim Tawaran Baru Guru - Muhyiddin

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran sedang memperincikan skim tawaran baru dan bayaran insentif seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu susulan rungutan daripada guru lepas diploma dan beberapa kesatuan yang tidak berpuas hati dengan tawaran itu.

"Kita dalam proses makmal untuk membincangkan secara terperinci, perkara itu bukan sahaja soal pengetua tetapi perjawatan perguruan secara keseluruhan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-50 di Subang Jaya di sini, Selasa.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata perkara itu telah dibawa kepada mesyuarat Kabinet dan akan diputuskan selepas mendapat persetujuan dari Perdana Menteri dalam tempoh beberapa minggu.

Sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 di Kuching pada 17 Mei lalu, Najib dalam perutusan beliau dalam rakaman video, mengumumkan bayaran insentif tawaran baru dan bayaran insentif sekolah berprestasi tinggi kepada pengetua, guru besar serta warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan di sekolah masing-masing. Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM200,000 kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) yang banyak memberi sumbangan kepada sektor pendidikan negara walaupun tidak pernah menerima dana khusus selepas 50 tahun ditubuhkan.

Dalam pada itu, katanya, institusi pendidikan khususnya sekolah sudah tiba masanya mempunyai elemen organisasi berkeupayaan agar dapat melonjakkan kecemerlangan mengoptimumkan segala sumber yang dimilikinya tanpa terlalu bergantung harap pada mana-mana pihak.

Beliau berkata proses melengkapkan dan memperbaiki potensi dan kemenjadian murid sepatutnya dilakukan sepanjang masa di sekolah di mana aspek pengajaran dan pembelajaran serta pemantauan seharusnya menjadi tugas utama bagi setiap pimpinan sekolah.

Katanya, setiap pengetua harus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyediakan dan memastikan kualiti pendidikan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan kehendak sebenar masyarakat.

Muhyiddin berkata kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada kemampuan pemimpin dari dua aspek iaitu pentadbiran dan pengurusan serta kepimpinan pengajaran.

"Dalam konteks ini, aspek terpenting yang perlu dimainkan oleh pengetua adalah aspek kepimpinan pengajaran terutama dalam mencorakkan iklim dan budaya pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Di bawah aspek pentadbiran dan pengurusan pula, katanya, penglibatan guru-guru dan kakitangan dalam semua aktiviti hendaklah diberi perhatian dan pengetua menyalurkan maklumat yang terkini, menerima pandangan secara terbuka selain menghargai sumbangan guru dan kakitangannya.

Beliau berkata pengetua sewajarnya perlu berubah daripada "routine manager" kepada "leader manager" supaya keberkesanan tadbir urus sekolah dapat terus dipertingkatkan.

Mengenai persidangan tahunan anjuran MPSM, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan Jabatan Pelajaran Selangor, katanya ia boleh dijadikan platform untuk berbincang dan melakukan penilaian kritikal yang bersesuaian dengan transformasi pendidikan yang memenuhi kehendak masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain