suria

Harga Minyak Mentah Harus Kekal Pada AS$75-AS$80 Setong - Petronas

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) percaya harga minyak mentah seharusnya kekal dalam jajaran AS$75-AS$80 setong memandangkan keadaan semasa fundamental pasaran dan kesan alam sekitar.

Presiden merangkap Ketua Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata harga memainkan peranan penting dalam keputusan peruntukan sumber kedua-dua pengguna dan pengeluar, tetapi dipengaruhi oleh tindakan bank-bank pusat dan spekulator kewangan.

"Bagaimana kita mencapai paras harga ini, seawal ini dalam kitaran ekonomi, memandangkan ketiadaan sebarang bukti sebenar kekurangan dalam pasaran fizikal?," soal beliau dalam ucap tamanya di Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-16, di sini, Isnin.

Beliau berkata penanda aras harga mentah utama berada dalam angka tiga kali gandanya, meningkat lebih US$25 setong hanya dalam beberapa bulan, di tengah-tengah kebimbangan gangguan bekalan di Timur Tengah dan Utara Afrika dan kelemahan dolar AS melonjakkan harga.

Beliau berkata kapasiti gantian Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) jatuh di bawah empat juta setong sehari, manakala paras inventori minyak mentah dan produk petroleum merosot.

"Permintaan gas asli global melantun semula dengan kukuh sebanyak 4.9 peratus dan permintaan LNG pada 21 peratus.

"Penimbal bekalan yang ada hari ini mungkin menyerap permintaan ini dengan baik," katanya.

Shamsul Azhar berkata Asia dijangka menggunakan lebih 250 bilion tong minyak menjelang 2030, lebih enam kali rizabnya ketika ini iaitu kira-kira 40 bilion tong.

"Permintaan minyak Asia diunjur meningkat sebanyak dua pertiga dalam tempoh 20 tahun. Ini akan berjumlah kepada lebih 60 peratus kenaikan kasar permintaan global dalam tempoh ini," katanya.

Beliau berkata penilaian berasaskan geologi mengesyorkan sumber minyak belum ditemui rantau ini kira-kira 50 bilion tong.

"Majoriti sumber-sumber ini dijangka terletak di lapangan bersaiz kecil dan sederhana yang secara terkumpul masih mempunyai jumlah potensi yang besar," katanya.

"Pada faktor penemuan 30 peratus, sumber tidak ditemui ini akan menterjemah kepada asas sumber, satu setengah kali gabungan rizab Indonesia, Vietnam dan Malaysia," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain