suria

Lima Duta Terima Watikah Pelantikan Daripada Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Rabu menyerahkan watikah pelantikan kepada lima ketua perwakilan Malaysia ke luar negara dalam satu istiadat di Istana Negara di sini.

Mereka ialah duta ke Kazakhstan, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi, duta ke Ireland, Datuk Ramli Naam, duta ke Venezuela, R. Mahinder, duta ke Maghribi, Jamal Hassan dan duta ke Cuba, M.C Samuel Jojie Samuel.

Ahmad Rasidi, 56, berasal dari Kuala Lumpur, pernah bertugas sebagai Duta Malaysia ke Laos dan Filipina sebelum memegang jawatan terakhir sebagai Ketua Protokol di Kementerian Luar.

Ramli, 57, dari Negeri Sembilan pula memulakan karier diplomatiknya pada 1978, dan pernah berkhidmat sebagai duta ke Algeria dan Venezuela, sebelum memegang jawatan terakhir sebagai Duta Malaysia ke Itali pada Disember 2008 hingga sekarang.

Mahinder, 53, berasal dari Perak yang merupakan Setiausaha Bahagian (Eropah) di Wisma Putra, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian (Amerika) dan duta ke Nepal sebelum dilantik ke jawatan terkini.

Jamal, 53, dari Selangor, merupakan Timbalan Ketua Pengarah Komuniti Sosio Budaya Asean di Sekretariat Kebangsaan Asean-Malaysia, dan pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral di Shanghai dan Setiausaha Bahagian (Kewangan dan Akaun) di Wisma Putra.

Jojie Samuel, 47, kelahiran Johor, memulakan karier diplomatik pada 1992, dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Pertama di kedutaan Malaysia di Baghdad. Jawatan terakhir sebelum dilantik memegang jawatan terkini ialah Penasihat di kedutaan Malaysia di Ankara. - BERNAMA

Artikel Lain