suria

Tanah Runtuh: Empat Lagi Mangsa Ditemui

KAJANG: Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Malaysia Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, telah ditemui awal pagi ini - menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban dalam kejadian itu seramai 16 orang.

Mayat terakhir yang dikenali sebagai Boboy, 11, ditemui pada pukul 5.05 pagi Ahad.

Manakala tiga lagi mayat yang hanya dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim yang kesemuanya berusia 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superitanden Azman Ayob berkata, dengan penemuan empat lagi mangsa, jumlah mereka yang terkorban dalam tragedi berkenaan ialah seramai 16 orang.

"Mangsa yang terkorban adalah seramai 16 orang termasuk seorang daripadanya dewasa, manakala sembilan lagi yang terperangkap telah berjaya kita keluarkan dalam keadaan selamat," katanya kepada media di lokasi kejadian pagi ini.

Menurut beliau lagi, operasi berkenaan disambung semula pada pukul 8 pagi setelah dihentikan buat seketika.

"Kita hendak pastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat bermula pada pukul 2.45 petang iaitu beberapa ketika selepas kejadian itu berlaku. Ia dihentikan seketika menjelang pukul 5.30 pagi Ahad.

Artikel Lain